Pelaksanaan Light Regulatory Impact Assessment bagi Akta Tuan Rumah Inapan 1952 [Akta 248]

Akta Tuan Rumah Inapan 1952 [Akta 248] telah digubal sebelum kemerdekaan Tanah Melayu untuk memberikan pelindungan kepada penyedia perkhidmatan penginapan dan hanya diguna pakai di Semenanjung Malaysia sahaja.

Akta tersebut tidak pernah disenaraikan di dalam Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan sehinggalah pada tahun 2011, yang mana Akta tersebut telah diletakkan di bawah bidang kuasa KPKT. Sejak daripada itu, KPKT mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan dalam melaksanakan kajian ke atas semakan dan pindaan kepada Akta tersebut.

KPKT telah mengadakan dua sesi libat urus bagi kajian semakan semula Akta 248 pada 20 April 2021 dan 27 Mei 2021 yang telah disertai oleh kementerian/agensi Kerajaan yang berkaitan, persatuan-persatuan pengguna dan persatuan-persatuan perhotelan dan penginapan.

Pada sesi tersebut, pihak kementerian, agensi Kerajaan dan persatuan pengguna bersetuju dengan cadangan untuk memansuhkan Akta 248. Walau bagaimanapun, pihak persatuan perhotelan telah menyatakan pendirian supaya cadangan untuk memansuhkan Akta 248 diteliti semula, memandangkan hanya Akta ini sahaja yang memperuntukkan perlindungan kepada kepentingan pemilik-pemilik hotel dan rumah-rumah inap mereka.

Pihak MPC yang turut terlibat dalam sesi libat urus tersebut telah mencadangkan keperluan untuk melaksanakan satu kajian yang menyeluruh melalui proses RIA sebelum keputusan untuk memutuskan sama ada Akta 248 ini perlu dimansuhkan atau dipinda.

Mesyuarat Semakan Semula Akta Tuan Rumah Inapan Bilangan 2 Tahun 2021 yang diadakan pada 27 Mei 2021 yang lalu telah bersetuju supaya Regulatory Impact Assessment (RIA) dilaksanakan bagi menilai dan menentukan kesan terhadap cadangan untuk meminda atau memansuhkan Akta Tuan Rumah Inapan 1952 [Akta 248].

KPKT telah mengemukakan permohonan notifikasi peraturan (Regulatory Notification) menerusi Sistem Digital Regulatory Notification (DRN), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada 14 Jun 2021. MPC pada tarikh yang sama telah memaklumkan supaya proses Light RIA dilaksanakan bagi menilai cadangan tersebut.

Pegawai untuk dihubungi:
Encik Mohd Yasin bin Alwi di talian 03-88915522 dan Encik Mohamad Amarullah bin Azmi di talian 03-88915539 dari Cawangan Dasar Kerajaan Tempatan, Bahagian Kemampanan Bandar dan Persekitaran Hijau.


Lampiran

  1. Akta Tuan Rumah Inapan 1952 [Akta 248]